suria

Kementerian Kesihatan Sambut Baik Usaha Swasta Bantu Pertingkat Standard Perubatan Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengalu-alukan usaha institusi perubatan swasta membantunya meningkatkan standard perkhidmatan perubatan di negara ini, sejajar dengan standard amalan terbaik global.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata adalah amat membanggakan apabila melihat institusi swasta menyediakan kemudahan terbaik untuk memastikan keselesaan pesakit sentiasa terjamin.

"Untuk terus setanding dengan negara lain di dunia, kita perlu sedar bahawa penjagaan komprehensif bukan setakat memberi rawatan setelah mengenal pasti apa yang tidak kena," katanya ketika melancarkan sistem Pengimejan Magnetik Tesla 3 Gleneagles Kuala Lumpurs (GKL) di hospital itu di sini, Khamis.

Sistem pengimejan 3T Magnetom Skyra keluaran Siemens ini amat cekap, pantas dan mampu memaksimumkan keselesaan pesakit.

Turut hadir, ketua pegawai eksekutif GKL Amir Firdaus Abdullah dan ketua pegawai eksekutif Siemens Malaysia Prakash Chandran.

Rosnah juga menjelaskan tentang pentingnya institusi perubatan swasta berusaha menguatkan semangat pesakit ketika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

"Melalui penyediaan rawatan dan kelengkapan perubatan yang paling minimum daripada segi kadar invasif untuk meminimumkan penderitaan dan stres pesakit akibat proses diagnosis, mereka membantu meletakkan kita dalam peta industri perubatan global," katanya.

Sementara itu, Amir Firdaus berkata Magnetom Skyra adalah teknologi pengimejan perubatan paling pantas dan cekap yang ada ketika ini.

"Dengan menggunakan teknologi 3T, peranti berkenaan mewujudkan standard baru dalam bidang pengimejan perubatan.

Tesla (T) adalah unit bagi mengukur lapangan magnetik. Dengan menggunakan teknologi 3T, Magnetom Skyra menghasilkan imej lebih berkualiti, membolehkan jurudiagnosis mengenal pasti anamoli yang lebih kecil dalam sistem muskuloskeletal pesakit," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain