suria

Ismail Omar: Perkembangan Teknologi Semasa Pengaruhi Peningkatan Jenayah Korporat

PETALING JAYA: Kepesatan dan kecanggihan teknologi semasa merupakan antara punca peningkatan jenayah korporat di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata segelintir mereka yang tamak memanipulasi teknologi untuk melakukan jenayah korporat terancang seperti penipuan siber, pengubahan wang haram, penggelapan wang syarikat dan penipuan akaun bank.

Menyedari situasi tersebut, Ismail berkata polis turut meningkatkan keupayaannya dari segi penguasaan teknologi terkini bagi menangani masalah jenayah korporat yang boleh menjadi satu ancaman kepada negara.

"Kita turut meningkatkan keupayaan dalam melakukan siasatan.

"Kita ada kepakaran dalam bidang jenayah komersil, kita ada pakar dalam bidang ekonomi, jadi penguasaan kita dalam bidang ini memudahkan kita untuk jejaki jenayah korporat ini," katanya.

Ismail bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog yang dianjurkan oleh Institut Pengurusan Malaysia (MIM) bertajuk "Corporate Crimes: Managing The Growing Menace" (Jenayah Korporat: Menangani Petaka Yang Meningkat) di sini, Khamis.

Ismail mengingatkan badan korporat, syarikat besar dan pihak bank melakukan beberapa perubahan dalam prosedur operasi standard (SOP) syarikat mereka bagi mengelakkan kemungkinan pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas kelemahan SOP berkenaan.

Katanya dari segi perangkaan terkini, jenayah yang membabitkan penipuan di internet dan jenayah korporat lain menunjukkan peningkatan berbanding jenayah seperti samun, bunuh dan rompak yang berjaya dikurangkan oleh pihak polis.

"Kita sedar jenayah ini semakin meningkat oleh itu kita telah melakukan beberapa kerjasama membabitkan Bank Negara dan syarikat-syarikat korporat untuk menyalurkan maklumat kepada kita untuk kita membendung jenayah ini," katanya.

Beliau berkata dalam pada itu, polis turut memantau beberapa kumpulan tertentu yang beroperasi di luar negara yang menjadikan Malaysia sebagai pusat bagi menjalankan aktiviti jenayah korporat mereka terutamanya membabitkan penipuan akaun bank dan jenayah siber. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain