suria

Shamsubahrin Buat Pengeluaran Wang RM1.5 juta Dalam Beberapa Hari

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail membuat beberapa pengeluaran daripada jumlah RM1.5 juta dalam akaun miliknya, dalam tempoh beberapa hari sahaja, pada penghujung tahun lepas. Penolong Pengurus Maybank cawangan Petaling Jaya Mazlina Mustafar, 40, berkata antara pengeluaran yang dibuat Shamsubahrin ialah sebanyak RM167,042 dan RM138,042 yang kemudiannya dibayar kepada F A Automobile (Ipoh) Sdn Bhd pada 6 Dis 2011 melalui "Debit Advice". Saksi pendakwaan kelapan itu juga berkata sebanyak RM200,000 dikeluarkan Shamsubahrin dengan cara pengeluaran tunai melalui buku bank pada 6 Dis tahun lepas untuk permohonan kiriman wang. Mazlina berkata ketiga-tiga pengeluaran wang itu dibuat Shamsubahrin melalui akaun Maybank miliknya yang dibuka pada 23 Jun 2003. "Shamsubahrin juga membuat pengeluaran berjumlah RM100,000 melalui pemindahan antara bank kepada akaun RHB miliknya," katanya ketika ditanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Robert Pasang Alam. Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes Shamsubahrin, yang didakwa terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Dia juga menghadapi lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan jumlah yang sama, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Mazlina juga memberitahu mahkamah bahawa wang berjumlah RM1.5 juta dalam akaun milik Shamsubahrin didepositkan ke dalam akaunnya melalui tiga cek dengan kaedah "Debit Advice".

Beliau berkata cek itu diterima daripada Syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd berjumlah RM500,000 pada 2 Dis 2011, dan RM300,000 serta RM700,000 diterima daripada Real Food Company Sdn Bhd masing-masing bertarikh pada 2 Dis dan 6 Dis 2011.

"Sebelum tiga cek itu diterima, baki yang tinggal di dalam akaun Shamsubahrin pada 21 Nov 2011 hanya RM2.31," katanya ketika disoal semasa pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa. Saksi pendakwaan kesembilan Mohd Hatta Hassan, 40, penolong pengurus Maybank, cawangan TTDI Jaya, Shah Alam, pula berkata terdapat kemasukan wang tunai sebanyak RM50,000 ke dalam akaun simpanan Maybank milik Suzana Abdul Aziz, pada 25 Nov tahun lepas. Beliau berkata pada 6 Dis tahun lepas terdapat pula kemasukan tunai sebanyak RM200,000 ke dalam akaun Suzana melalui kaunter dengan cara pemindahan wang dari akaun Shamsubahrin.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya Anslem Charles Fernandis, saksi pendakwaan ke-10 Thomas a/l Piacha Simon Pereira, 49, seorang pemandu teksi syarikat Awana Sutera Travel & Tours Sdn Bhd milik Sahmsubahrin, dalam keterangannya berkata Suzana adalah isteri kepada Shamsubahrin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozilah Salleh bersambung 5 Nov. BERNAMA

Artikel Lain