suria

Polis Peronda Harungi Saat Cemas Suspek Pecah Rumah Cuba Rampas Pistol

MIRI: Seorang anggota polis peronda terpaksa mengharungi detik cemas apabila seorang daripada dua suspek yang memecah sebuah rumah kosong bertindak agresif dengan cuba merampas pistol kepunyaan anggota polis tersebut dalam usaha untuk melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Sapian Salihin berkata dalam kejadian pada pukul 10.06 pagi Sabtu lepas, polis mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan mencurigakan yang berlaku di Lot 1189 Pujut 9.

Katanya bertindak atas maklumat itu, tiga anggota polis peronda yang kebetulan berada berhampiran kawasan kejadian dan mendapati kedua-dua suspek itu sedang membawa keluar barangan curi dari sebuah rumah di situ.

Beliau berkata apabila cuba dihalang, seorang daripada suspek itu cuba merampas pistol angggota polis berkenaan tetapi digagalkan dengan pantas.

"Dua suspek tersebut, kedua-dua lelaki rakyat tempatan berumur 32 dan 41 tahun, ditahan reman sehingga Khamis. Kedua-dua suspek mengaku mencuri barang tersebut untuk dijual kepada kilang besi buruk," katanya di sini Rabu.

Sapian berkata antara barangan yang dicuri termasuk empat unit alat pendingin hawa, televisyen, radio, papan litar elektrik, bingkai tingkap aluminium, kipas angin, paip tembaga dan pemain cakera DVD.

"Dianggarkan kerugian dialami oleh pemilik rumah itu adalah sekitar RM10,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain