suria

Polis Buru Dua Suspek Terlibat Kes Di OUG, Jalan Klang Lama

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki terbabit dalam dua kes ragut berasingan di Taman Gembira dan Jalan Hujan Emas, Bukit OUG sepanjang dua minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata dalam kejadian 1.20 petang Isnin lepas, dua lelaki tempatan yang menaiki motosikal meragut seutas rantai leher seorang lelaki berusia 45 tahun yang ketika itu sedang berjalan kaki di kawasan sekitar Jalan Hujan Emas.

"Selepas meragut, suspek cuba melarikan diri menggunakan motosikal yang dinaiki namun gagal berikutan keadaan lalu-lintas yang sesak ketika itu. Mereka kemudian melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dan rantai yang diragut.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu, berjaya mengejar salah seorang suspek manakala seorang lagi berjaya melarikan diri," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 27 tahun yang berjaya diberkas dan tidak bekerja itu, kini direman tujuh hari sehingga Sabtu ini.

Rakan suspek yang berjaya melarikan diri telah dikenali pasti iaitu lelaki berusia 31 tahun dengan alamat terakhir di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya.

Wan Abd Bari berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu menjalankan kegiatan mereka sejak Mac tahun ini dan dipercayai terlibat dengan 30 kes ragut sekitar kawasan perumahan di Brickfields, Seri Petaling dan OUG.

Sementara itu, beg tangan seorang remaja berusia 19 tahun diragut dua lelaki bermotosikal berhampiran kawasan rumahnya di Taman Gembira, Jalan Klang Lama kira-kira pukul 9.45 pagi pada 5 Sept lepas.

Bagaimanapun, sehari kemudian salah seorang suspek berusia 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut itu berjaya ditahan dalam serbuan pukul 11 malam di sekitar kawasan Kuchai Entrepreneurs Park.

Katanya siasatan lanjut mendapati suspek terlibat tidak kurang daripada lima kes samun dan ragut sekitar Brickfields dan kini direman sehingga esok. Siasatan juga mendapati kegiatan mereka dipercayai aktif sejak Januari tahun ini.

Wan Abd Bari berkata polis kini memburu seorang lagi suspek yang masih bebas berusia 17 tahun dan beralamat di Desa Petaling di sini.

Artikel Lain