suria

PM Meriahkan Sambutan Merdekaraya

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Rabu meluangkan masa hampir 45 minit untuk sama-sama memeriahkan majlis Merdekaraya anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) Selangor yang diadakan di Finas, Ulu Klang, Rabu.

Kehadiran Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu disambut kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas dan Ketua Wanita Umno dan BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Perdana Menteri dalam ucapan ringkasnya menyifatkan kejayaan dan kemeriahan majlis berganda itu menunjukkan kesediaan padu Wanita BN untuk berjuang bagi memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya melihat kehadiran malam ini boleh dikatakan meriah dan Wanita BN, saya dapat lihat berada dalam keadaan yang padu dan bersedia untuk bekerja keras dan berjuang habis-habisan bagi menjamin kemenangan besar untuk BN.

"Jadi saya yakin dan percaya di bawah pimpin Wanita pusat dan negeri, InsyaAllah apa yang kita hasratkan akan menjadi nyata," katanya.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan antaranya nyanyian lagu-lagu patriotik sempena kemerdekaan, persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan persembahan artis-artis tempatan. BERNAMA

Artikel Lain