suria

Masyarakat Perlu Syukur Nikmat Pendidikan Yang Disediakan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membina banyak kemudahan pendidikan bagi menjamin masa depan kanak-kanak di negara ini termasuk membina sebanyak 2,500 buah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) baharu dari tahun 2010 hingga tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Hassan Manaf berkata ia bagi mencapai agenda pendidikan rakyat untuk membolehkan mereka mengakses pendidikan seawal usia dua tahun.

"Mereka ditempatkan di Pusat Asuhan Kanak (Taska), (manakala) untuk yang berumur empat hingga enam tahun ditempatkan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika)," katanya selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Wilayah Persekutuan 2012.

Acara tersebut adalah kerjasama antara Kemas dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melibatkan kira-kira 270 kanak-kanak dari 13 kawasan Parlimen di sekitar Wilayah Persekutuan.

Hassan berkata terdapat lebih 10,000 Tabika di seluruh negara untuk kemudahan orang ramai menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak pada usia muda.

Justeru, katanya, masyarakat seharusnya bersyukur kerana menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu.

Mengenai acara itu, Pengarah Kemas Wilayah Persekutuan Khairuddin Mohd Nasir berkata kerjasama antara Kemas dan DBP dapat memberi faedah kepada kanak-kanak daripada segi kaedah teknik penceritaan.

"Saya mahu kerjasama lebih erat antara kedua-dua belah pihak dibentuk agar pihak DBP dapat menyalurkan kepakaran mereka dalam aspek pembacaan kepada kanak-kanak.

"Bakat kanak-kanak dapat digilap dari usia yang muda dan penonjolan ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk bertanding ke peringkat kebangsaan pada November nanti di Kuala Terengganu," katanya.

Antara acara yang dipertandingkan bagi menggilap bakat semulajadi kanak-kanak tersebut ialah bercerita, pidato, tilawah al-Quran, tarian, nasyid, kompang berformasi dan reka cipta. BERNAMA

Artikel Lain