suria

Lelaki Iran Dipenjara 13 tahun, 10 Sebatan Miliki Dadah

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Iran dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis syabu di tandas Hospital Putrajaya, Serdang dekat sini pada 2010.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad memerintahkan tertuduh, Saeid Sabili Khiyavi, 43, pekerja am, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 3 Februari 2010.

Dia didakwa memiliki syabu seberat 272 gram di tandas lelaki wad perubatan hospital berkenaan antara 3 Feb 2010 sehingga 4 Februari 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup serta sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dan pemeriksaan pihak polis ke atas beg galas yang dibawa tertuduh serta pada luaran tubuh badannya tidak menemui barang salah.

Tertuduh kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya dan hasil pemeriksaan x-ray mengesahkan terdapat benda asing di dalam perutnya.

Saeid seterusnya telah buang air besar di tandas lelaki dan mengeluarkan dari duburnya 42 ketulan bungkusan kecil plastik lutsinar mengandungi syabu.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

Terdahulu, peguam Alfred Egin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang mempunyai dua anak perempuan berusia lapan dan lima tahun menghidap penyakit asma yang kronik.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan kesalahan dilakukan tertuduh serius.

"Walaupun mengetahui hukuman mati menanti, tertuduh sanggup ambil risiko membawa masuk dadah ke Malaysia. Kalau dadah itu terlepas masuk ke negara ini, gejala penagihan dadah dalam kalangan belia negara ini akan berleluasa dan meningkatkan gejala sosial," katanya. BERNAMA

Artikel Lain