suria

Lebih 60 Peniaga Sewa Tapak MBAS Berdepan Tindakan Sita Barangan

ALOR SETAR: Lebih 60 peniaga kecil yang menyewa tapak milik Majlis Bandaraya Alor Setar(MBAS) berdepan tindakan barangan mereka disita setelah gagal membayar tunggakan sewaan antara 10 hingga 26 bulan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Harta MBAS, Zamzama Mohd berkata tindakan menyita barangan mereka akan dibuat secara berperingkat oleh penguatkuasa MBAS yang melibatkan jumlah tunggakan sewa hampir RM100,000.

Katanya MBAS menghantar surat amaran Julai lepas dan menghubungi mereka sebelum melakukan operasi sita namun tiada sebarang tindakan daripada peniaga terbabit.

"Mereka tak bagi kerjasama dengan MBAS dan kita terpaksa ambil tindakan sita barangan mereka seperti gerai, peralatan memasak, kerusi dan meja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat MBAS di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Zamzama berkata pihaknya akan menangguhkan tindakan sita jika peniaga memberi kerjasama dan berbincang dengan pihaknya untuk membayar tunggakan sewa secara ansuran setiap bulan.

Beliau berkata rata-rata peniaga kecil yang menyewa tapak niaga tersebut menjual makanan dengan kadar sewa antara RM20 hingga RM40 sebulan.

Zamzama turut menyarankan kepada peniaga yang tidak aktif berniaga agar menyerahkan tapak niaga tersebut kepada MBAS bagi membolehkan kontrak sewa ditamatkan sekaligus memberi peluang kepada peniaga lain.

Beliau berharap peniaga yang ingkar untuk membayar sewa segera ke pejabat MBAS untuk membayar tunggakan sewa tersebut bagi membolehkan barangan di tapak niaga mereka tidak disita.

Katanya MBAS akan menjual barangan yang disita dan wang yang diperoleh digunakan untuk membayar tunggakan sewa peniaga terbabit dan tindakan mahkamah diambil jika mereka gagal untuk menjelaskan semua hutang tertunggak itu.

MBAS hari ini menyita barangan di dua tapak niaga MBAS di Shahab Perdana dan di Medan Selera Taman Uda yang mempunyai tunggakan sewa 26 bulan manakala lima peniaga lagi membayar tunggakan sewa dengan kadar segera.

Bermula awal tahun ini, MBAS melancarkan operasi sita barangan dan premis peniaga yang ingkar membayar sewa tertunggak melebihi 10 bulan dan operasi tersebut dijalankan sebanyak lapan kali setiap bulan. BERNAMA

Artikel Lain