suria

JPN Kelantan Jamin Tiada Lagi Kes Pelajar Tidak Dibenar Duduki UPSR

KOTA BAHARU: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan memberi jaminan tiada lagi kes pelajar yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti yang berlaku sebelum ini.

Pengarahnya Che Hussain Awang berkata semua guru besar di negeri itu telah diingatkan supaya memastikan insiden sedemikian tidak berulang seperti yang berlaku di sebuah sekolah di Kuala Krai tahun lepas.

"Saya telah mengarahkan semua guru besar dan memberi peringatan supaya kes pelajar atau calon ditahan daripada menduduki peperiksaan tidak berlaku di Kelantan.

"(Apa pun) saya yakin kes ini tidak berlaku lagi di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas melawat 12 calon yang mengambil UPSR di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, Rabu.

Pada tahun lepas, seorang murid di Sekolah Kebangsaan Telekong, Kuala Krai mendakwa tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut oleh pihak sekolah atas arahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Keluarga murid tersebut mendakwa, Wan Mohd Fazlan Wan Ibrahim telah dihalang daripada menduduki UPSR kerana dia tergolong disleksia iaitu mereka yang menghadapi masalah membaca dan menulis.

Selain itu, kes yang sama juga dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan Bintangor, Sarawak dan Sekolah Kebangsaan Telok Sira, Baling, Kedah.

Pada tahun ini, seramai 35,895 calon UPSR mengambil peperiksaan itu di seluruh Kelantan. BERNAMA

Artikel Lain