suria

Jenazah Pelajar Maut Di Jordan Tiba Di Tanah Air Esok

KUALA LUMPUR: Jenazah pelajar tahun dua Universiti Mu'tah, Jordan, Saiful Asraf Saifuddin yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Isnin lepas, dijangka tiba di tanah air pada Khamis.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata Kedutaan Besar Malaysia di Amman sedang membuat persedian untuk menghantar pulang jenazah ke Malaysia.

Saiful Asraf, 22, yang mengikuti pengajian Usul Fiqh dalam jurusan Syariah, maut dalam kemalangan ketika menjemput tiga rakan pengajiannya yang baru tiba di lapangan terbang selepas pulang bercuti di Malaysia.

Kemalangan berlaku apabila kereta sewa yang dinaiki mereka hilang kawalan ketika melakukan pusingan U di lebuh raya antara Karak dan Aqaba.

Tiga rakannya, Mohd Hanafi Khalis Zainal Abidin, Nadhirah Husna Ahmad dan Nur Syahirah Saipolbahari hanya mengalami kecederaan ringan.

"Allahyarham berasal dari Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor. Ibu bapa dan ahli keluarga pelajar berkenaan telah dimaklumkan mengenai kemalangan ini," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain