suria

Hukum Hudud: Karpal Berjuang Berseorangan

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh berjuang berseorangan untuk menghalang PAS daripada melaksanakan hukum hudud.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, selain Karpal, tiada mana-mana ahli dalam parti itu yang bersuara lantang menentang undang-undang itu.

Dr Chua berkata, Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu pernah berkata parti itu akan mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan digubal bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan selepas pembangkang berjaya membentuk kerajaan.

"Dia berkata semua Ahli Parlimen beragama Islam akan komited melakukan perkara ini. Terdapat kira-kira 150 Ahli Parlimen beragama Islam, di mana lebih dua pertiga daripada jumlah wakil di Dewan Rakyat.

"Jadi, DAP perlu melakukan sesuatu untuk menyakinkan kita bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan sekiranya pembangkang menang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA di sini, Selasa.

Dalam perkembangan lain, Dr Chua mendakwa pembangkang mempengaruhi golongan muda untuk mengadakan demonstrasi menentang kerajaan.

"Oleh kerana pembangkang berjaya menghasut kebencian terhadap pemimpin Barisan Nasional, kebanyakan mereka yang menghadiri majlis politik tidak mahu berjabat tangan dengan kami," katanya.

Artikel Lain