suria

Curi Wang RM50, Tiga Lelaki Warga Asing Didenda RM1,000

NIBONG TEBAL: Gara-gara mencuri RM50, dua lelaki warga Iran dan seorang lelaki warga Turki pada Rabu dijatuhi hukuman denda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Mohamed Aznin Mohamed Ariff turut memerintahkan dua warga Iran Rouhollah Ghasem Khah Hassankiadeh, 33, Hossein Fiuji, 23, dan warga Turki Aliburak Coskundeniz, 30, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mohamed Aznin mengenakan hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh selepas mereka mengaku bersalah mencuri wang sebanyak RM50 daripada Lim Lee San, 41, di sebuah kedai Doggie and Me, Sungai Bakap di sini pada 3.30 petang, 25 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun yang sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Aliburak dipercayai mahu membeli syampu haiwan di kedai itu dan membayar menggunakan mata wang Amerika Syarikat atas alasan tidak tahu menggunakan mata wang Malaysia.

Bagaimanapun, pemilik kedai itu tidak mahu menerimanya dan menunjukkan contoh wang kertas RM50 kepada tertuduh.

Tertuduh yang berpura-pura meminta wang itu untuk melihatnya telah melarikan diri bersama wang berkenaan.

Dua rakannya menunggu di dalam sebuah kereta.

Bagaimanapun, mereka tidak sempat melarikan diri apabila ditahan anggota polis yang secara kebetulan berada di kawasan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam R. Sritheran. - BERNAMA

Artikel Lain