suria

Chor: Najib Dijangka Sentuh Perumahan Mampu Milik Dalam Belanjawan 2013

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyentuh isu perumahan mampu milik dalam Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata Perdana Menteri juga begitu prihatin berhubung isu berkenaan dan akan bertanya mengenainya dalam setiap mesyuarat jemaah menteri.

"Saya tidak tahu apa yang akan dinyatakannya, tapi beliau akan menyatakan sesuatu dalam belanjawan bagi menunjukkan keprihatinannya berhubung isu itu," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran kementerian di sini, Rabu.

Berhubung perkara sama, Chor berkata kementeriannya sedang menyediakan kertas kerja, menyenaraikan isu-isu dan langkah-langkah yang disyorkan berhubung isu itu yang akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet minggu depan sebagai satu panduan kepada kerajaan.

Katanya idea itu dijana melalui tiga seminar dan perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), persatuan pembeli rumah, persatuan arkitek dan profesional yang lain.

"Sebagai contoh, sekarang, bagi mereka yang berpendapatan bulanan RM3,000 hingga RM7,000, ia agak sukar bagi mereka untuk membeli rumah kerana tidak mampu dan hanya mampu membeli rumah yang berharga tidak melebihi RM400,000.

"Untuk membeli sebuah rumah dengan kos RM400,000 mungkin mereka terpaksa duduk jauh dari tempat kerja. Harap-harap kerajaan akan dapat segera membantu meringankan keadaan ini," katanya.

Sambil menyatakan bahawa keadaan ini bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia tetapi juga negara-negara lain seperti China dan United Kingdom, Chor berkata inisiatif kerajaan berhubung isu itu bermula dengan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan dua tahun lalu, yang menawarkan rumah-rumah berharga RM120,000 hingga RM300,000.

"Kementerian juga sedang membantu kerajaan persekutuan bagi menyediakan perumahan awam bagi mereka yang berpendapatan maksimum RM2,500 sebulan. Walaupun banyak yang perlu dilakukan tetapi setakat ini kita dapat melakukannya dengan agak baik kerana setiap negeri mempunyai perumahan awam seperti ini dengan yang terbanyak adalah Sabah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Chor berkata orang ramai digalakkan membentuk satu kumpulan sukarelawan bagi membantu mencegah jenayah di kawasan kejiranan mereka seperti di Kedah termasuk kawasan Parlimennya di Alor Star, yang dipanggil akuad bantuan krisis.

"Mereka sedar tidak mempunyai kuasa untuk menangkap orang tetapi mereka bergilir-gilir meronda (kawasan kejiranan). Sebagai Anggota Parlimen saya menyokong mereka dengan peruntukan untuk membeli walkie talkie yang bersambung terus dengan polis.

"Saya berpendapat ini adalah satu bentuk kesukarelawan. Anda tidak boleh bergantung kepada polis sepanjang masa kerana usaha memerangi jenayah adalah tanggungjawab bersama," katanya. BERNAMA

Artikel Lain