suria

Penyelia Syarikat Penghawa Dingin Didakwa Rogol Jiran

PETALING JAYA: Seorang penyelia sebuah syarikat penghawa dingin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan menyamun jirannya, dua tahun lepas.

Mohd Syakir Suhailee, 22, didakwa merogol wanita berusia 38 tahun yang merupakan seorang pengasuh kanak-kanak, di sebuah rumah di Puchong, pada 6 pagi, 3 Oktober 2010.

Dia yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohd Syakir juga didakwa menyamun wanita itu yang sudah berkahwin, dengan merampas sebentuk cincin emas dan wang RM60 di tempat dan waktu yang sama.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan mangsa merupakan jirannya.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan permohonan itu dan menetapkan 2 Okt depan untuk pengurusan kes. BERNAMA

Artikel Lain