suria

Mayat Ditemui Dalam Kereta Musnah Terbakar

KLANG: Polis menemui satu mayat rentung dalam sebuah kereta yang musnah terbakar kira-kira 100 meter dari jalan utama berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Bukit Cherakah, Meru di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supt Mohd Shukor Sulong berkata, polis tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 7.15 malam sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, mayat berkenaan ditemui di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan kaki ke atas dan kepala di bawah.

"Siasatan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Brickfields pada 10 Ogos lepas manakala identiti mangsa masih belum dikenal pasti," katanya di sini Isnin.

Mohd Shukor berkata, polis percaya mayat dan kereta itu telah terbakar kira-kira 10 jam sebelum ditemui.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan saudara mara dan mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-3291 2222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain