suria

KPI NC Diukur Berdasarkan Program Keusahawanan

SINTOK: Mulai sekarang Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Naib Canselor institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diukur berdasarkan kejayaan mereka melaksanakan program akademik yang melahirkan mahasiswa berciri keusahawanan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelaksanaan KPI itu selaras dengan kejayaan sesebuah universiti yang diukur melalui penghasilan modal insan kreatif, inovatif dan memiliki kemahiran yang diperlukan majikan untuk memenuhi keperluan abad ke-21.

Katanya KPI itu bagaimanapun dilaksanakan berperingkat-peringkat supaya adil kepada semua Naib Canselor IPTA kerana ada universiti tidak menumpukan banyak program pendidikannya kepada bidang keusahawanan.

"Pemantauan kementerian mendapati pembangunan pendidikan keusahawanan di universiti bergerak pantas dan berkesan apabila Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti memberi perhatian khusus.

"Ini bermakna strategi pelaksanaan dan agenda keusahawanan universiti perlu diambil tanggungjawab oleh Naib Canselor, bukan lagi oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagaimana amalan selama ini," katanya sewaktu berucap pada majlis sambutan Aidilfitri dan merasmikan tiga blok bangunan baru akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Selasa.

Tiga blok bangunan tersebut bernilai RM95.4 juta dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan mula diduduki Mei tahun lepas, menempatkan Pusat Pengajian Sains Kunatitatif (SQS), Pusat Pengajian Teknoloji Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Pengurusan Tekonoloji dan Logistik (STML).

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pengajian Tinggi mengambil pendekatan ini supaya Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) tercapai kerana menjelang tahun 2020 enam kluster NKEA dijangka menawarkan lebih 840,000 peluang pekerjaan.

Enam kluster NKEA itu ialah perkhidmatan kewangan, perniagaan, pelancongan, pemborongan dan peruncitan, pendidikan serta teknoloji maklumat dan komunikasi, katanya.

Menurutnya kejayaan matlamat ini memerlukan graduan diterap dengan nilai dan atribut keusahawanan dalam diri mereka supaya berupaya berdikari dan mampu melahirkan pekerjaan untuk orang lain.

Mengenai UUM, beliau menyarankan UUM menumpu pada program Perbankan dan Kewangan Islam untuk menonjolkan kekuatannya melalui Projek Permulaan (EPP) NKEA selain memenuhi keperluan NKEA bagi menjayakan agenda transformasi ekonomi negara.

Rekod kementerian menunjukkan penawaran kursus-kursus baru oleh IPTA dalam bidang berkaitan NKEA seperti pelancongan serta Perbankan dan Kewangan Islam masih rendah dan boleh dipertingkatkan lagi, tambahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu beliau berkata sudah sampai masa semua universti mempertingkatkan budaya keusahawanan dengan merangka dan merancang pelan tindakan masing-masing untuk melahirkan graduan bersifat keusahawanan supaya mereka tidak memikir untuk makan gaji sahaja setelah tamat belajar.

"IPTA harus memainkan peranan melahirkan graduan sebagai penyumbang modal insan yang dapat menyelesaikan isu-isu dihadapi dunia sekarang samada dalam sistem kewangan atau modal insan berkualiti.

"Graduan-graduan kreatif dan inovatif boleh menyumbang kepada ekonomi sejajar dengan transformasi ekonomi negara yang bersifat keusahawanan. Kalau tidak, kita gagal menterjemah agenda transformasi ekonomi negara," tambahnya.

Turut hadir pada majlis itu Pro Canselor UUM, Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Pro Canselor Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak serta pegawai dan para pelajar UUM. BERNAMA

Artikel Lain