suria

Kerajaan Selangor Enggan Campur Tangan Proses Tender Projek Langat 2 - MB

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor tidak akan campur tangan dalam proses tender pembinaan loji rawatan air Langat 2 tetapi mengingatkan kerajaan Persekutuan dan kontraktor berpotensi bahawa mereka mempunyai hak di bawah Kanun Tanah untuk meluluskan atau menolak pembinaan tersebut.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bidang kuasa kerajaan negeri termasuk memberi kelulusan perancangan dan kebenaran untuk memasuki kawasan tersebut.

"Langkah kerajaan Persekutuan (untuk memulakan proses tender) jatuh di bawah bidang kuasanya.

"Namun kami ingin mengingatkan kepada sesiapa yang menghantar tender dan kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan negeri mempunyai beberapa kuasa di bawah Kanun Tanah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri pada Selasa.

Beliau berkata, penasihat undang-undang negeri telah berunding dengan peguam berkenaan sebelum merangka penyataan awam mengenai kuasa kerajaan negeri mengenai perkara ini.

Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) akan memulakan pembangunan kontroversi loji rawatan air Langat 2 bernilai RM3 bilion dengan mengeluarkan dokumen tender pertama pada Rabu untuk membina loji tersebut.

Artikel Lain