suria

'Depoliticise' Pendidikan Untuk Masa Depan Rakyat Malaysia - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemimpin semua peringkat perlu berani 'depoliticise' (mengetepikan politik dari) bidang pendidikan dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan populis.

Perdana Menteri berkata perkiraan pendidikan adalah perkiraan nasional dan bukannya partisan kerana ia bermatlamat memastikan setiap anak Malaysia mampu merealisasikan potensi kurniaan Tuhan yang dimiliki mereka.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia sentiasa menangani isu pendidikan sebagai isu langkau politik dengan terus memperuntukkan jumlah yang signifikan untuk sektor itu dalam bajet negara, termasuk pada 2012 yang memperuntukkan RM37 bilion.

"Iltizam kewangan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat komited bagi menjadikan pendidikan sebagai suatu bidang keutamaan negara.

"Kita bukan sahaja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga kualitatif, serta pastikan setiap ringgit duit pembayar cukai digunakan sebaik mungkin agar negara dan rakyat mendapat 'value for money'," katanya ketika berucap melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini Selasa.

Kata Najib, era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir, dan kini sedar bahawa harapan masyarakat terhadap keberkesanan dasar pendidikan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi menghadapai cabaran abad ke-21 semakin meningkat.

"Masyarakat sekarang lebih peka dengan pembangunan yang melanda sekitar dunia. Jangkaan mereka terhadap pendidikan adalah tinggi, mereka mengharapkan pulangan yang menguntungkan iaitu dengan anak-anak mereka menjadi seorang yang berguna," katanya.

Najib berkata harapan kerajaan ialah setiap anak-anak di negara ini mempunyai akses yang sama dalam pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

"Kerajaan akan berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk setiap rakyat. Inilah tanggungjawab kita. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran pendidikan yang bersifat bitara.

"Sebagai sebuah negara, kita telah berjaya menangani cabaran pendidikan yang dihadapi, era awal kemerdekaan telah menyaksikan bagaimana kita menangani masalah buta huruf, diikuti cara kita menangani era ekonomi berasaskan pertanian dan kemudiannya perindustrian," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain