suria

Chegubard Mohon Ketepi Tuduhan Perhimpunan Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin mengemukakan permohonan untuk mengetepikan tiga tuduhan terhadapnya berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 atas alasan semua tuduhan itu lemah.

Badrul Hisham, 34, yang juga dikenali sebagai 'Chegubard', memfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan S. N. Nair & Partners.

Badrul Hisham menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Badrul Hisham dituduh bersama penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada 2 Julai dan 22 Mei berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Pada 2 Julai, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan R. Tangam, G. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim melanggar perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir bertarikh 26 April, yang melarang sebarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei.

Pada 22 Mei, dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyertai protes jalanan yang melanggar perintah dikeluarkan Zaki Ashraf, yang melarang sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei.

Badrul Hisham dituduh melakukan kesalahan itu antara pukul 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April di Jalan Tun Perak di sini.

Dia juga mengaku tiak bersalah terhadap satu lagi tuduhan bersekongkol dengan Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dengan menghasut mereka supaya mengalihkan besi penghalang di Jalan Raja di sini pada hari yang sama.

Badrul Hisham dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Dalam permohonannya, Badrul Hishan berkata perintah yang dikeluarkan Zaki Ashraf tidak sah kerana ia dikeluarkan di luar daripada bidang kuasa dan/atau ultra vires dengan PAA kerana ia mula berkuatkuasa pada 30 Jan, yang secara undang-undang, membenarkan perhimpunan secara aman diadakan.

Katanya pihak berkuasa yang sepatutnya mengenakan larangan terhadap orang ramai daripada mengadakan perhimpunan secara aman mengikut PAA ialah polis, bukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, seperti yang disebut dalam perintah itu. BERNAMA

Artikel Lain