suria

Tiga Pelajar Nigeria Didakwa Samun Lelaki

PETALING JAYA: Tiga pelajar warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan menyamun seorang lelaki bulan lepas.

Samual Udoh Nkamore, 24, Olonade Olawale Olajuwan, 27, dan Okarie Ugochukwu Innocent, 24, Nigeria, ditahan dengan merampas seutas rantai emas di tepi lebuh raya Sprint dekat Eastin Hotel di sini pada 5.30 pagi, 16 Ogos lepas.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa raya Choong Kak Sen memohon supaya tiada jaminan ditawarkan terhadap kesemua tertuduh kerana mereka adalah warga asing, dan sekiranya mahkamah masih membenarkan mereka dijamin, pihak pendakwaan menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Choong juga memohon supaya ketiga-tiga tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan.

Peguam Thiru Kumar yang mewakili kesemua tertuduh pula memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana kesemua mereka adalah pelajar.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz tidak membenarkan jaminan ditawarkan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 9 Oktober sebagai tarikh sebutan kes. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain