suria

Polis Terima Rakaman Video Insiden Acu Pistol Pengawal Peribadi Anwar

JASIN: Polis Melaka pada Isnin menerima satu rakaman video memaparkan insiden mengacukan pistol ke arah orang awam oleh individu dipercayai pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Baru Rim, Sabtu lepas.

Rakaman berdurasi kira-kira empat minit milik seorang pegawai media siber tempatan itu diserahkan pada pukul 6 petang di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin di sini.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang ditemui di IPD selepas menyerahkan rakaman video itu, berkata rakaman tersebut diserahkan bagi membantu pihak polis menyelesaikan siasatan berhubung insiden tersebut.

"Ini kerana perbuatan (acu pistol) itu mendatangkan ancaman kepada orang ramai di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi mengesahkan menerima rakaman tersebut.

Katanya, polis akan meneliti rakaman itu untuk siasatan dan mungkin akan memanggil pembangkang bagi membantu siasatan sekiranya perlu.

"Anwar berada di dalam bas ketika kejadian dan tidak pasti sama ada beliau nampak kejadian itu atau sebaliknya, namun ia terserah pada pegawai penyiasat sama ada perlu memanggil beliau atau tidak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain