Pemandu Dipenjara 12 Tahun Miliki Ganja - Semasa | mStar

Pemandu Dipenjara 12 Tahun Miliki Ganja

SHAH ALAM: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki kanabis seberat 973 gram pada Mac tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan tertuduh, Abd Aziz Masran, 53, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 8 Mac tahun lepas.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu orang kenamaan didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran jambatan di tepi jalan masuk Taman Sri Manjung, Semenyih, Kajang, kira-kira 11.15 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup serta sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Abd Aziz bagaimanapun bernasib baik tidak dikenakan hukuman sebat berikutan usianya sudah melebihi 50 tahun.

Mengikut fakta kes, kereta dinaiki tertuduh ditahan pihak polis Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan tertuduh kemudian mengakui menyimpan dadah berkenaan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Abd Aziz sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar kanabis mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin sementara tertuduh diwakili peguam Salim Bashir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain