suria

M'sia Tak Memerlukan Politik Cara Ini...

KHABARNYA di George Town, Pulau Pinang, satu laporan polis telah dibuat ke atas 15 individu kerana telah memuat naik di laman sosial Facebook mereka gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kesan tapak kasut di wajahnya.

Individu yang membuat laporan polis berkenaan, Tan Khai Beng, 59, berkata, perbuatan seumpama itu adalah sesuatu yang sangat tidak beradab dan kurang ajar.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa kecewa dengan perbuatan pihak-pihak yang tidak beradab dan berbudaya ini.

“Oleh yang demikian saya telah membuat laporan polis dan berharap satu tindakan akan dapat diambil,” kata Tan sebagaimana dipetik oleh para pemberita selepas membuat laporan polis itu di Balai Polis Jalan Patani, Pulau Pinang.

Menurut Tan, rakyat mempunyai saluran yang betul untuk memilih atau menolak pemimpin mereka iaitu melalui kotak undi dan bukannya melalui cara yang tidak beradab ini.

Katanya, cara yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk mencetuskan kemarahan dan kebencian semata-mata.

Penulis juga berkongsi pandangan yang sama dengan Tan.

Negara kita tidak memerlukan cara berpolitik seperti ini.

Jika tidak suka buat cara yang betul dan melalui saluran yang betul bukan dengan cara menunjukkan punggung dan menayangkan gambar pemimpin dengan kesan tapak kasut di wajahnya.

Minggu lalu, penulis telah menegur sikap seorang wanita muda dari Johor yang berkata dia tidak sedar yang memijak gambar pemimpin adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Perihal perbuatan itu, penulis telah berhujah bahawa bukan tidak sedar yang menjadi persoalannya tetapi yang perlu ditonjolkan ialah dia tidak pun tahu memijak-mijak apa jua gambar individu merupakan satu perbuatan yang biadap dan tidak sopan.

Maknanya dia tidak sedar pun perbuatannya itu adalah satu bentuk kebiadapan dan tidak berbudaya apatah lagi kejahilannya tentang undang-undang.

Perkara seperti ini nampaknya telah menjadi satu penyakit dalam masyarakat dan perlu diperbetulkan di peringkat sekolah rendah dan menengah lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain