suria

Malaysia Akan Bincang Isu Kenaikan Had Umur Pekerja Sabah/S'wak Di S'Pura

SEGAMAT: Atase buruh Malaysia di Singapura akan berbincang dengan pihak berkenaan republik itu berhubung soal kenaikan had umur minimum bagi rakyat pribumi Sabah dan Sarawak yang berhasrat bekerja di sana.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, beliau berharap perbincangan tersebut akan membawa kepada satu penyelesaian terbaik berkaitan isu berkenaan.

"Saya difahamkan langkah menaikkan had umur itu hanya melibatkan penduduk Sabah dan Sarawak yang ingin bekerja di negara itu dan tidak melibatkan rakyat dari Semenanjung Malaysia.

"Jadi ia agak rumit, bagaimanapun kita menyerahkannya kepada atase buruh kita untuk berbincang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Dana Khas Belanjawan 2012 kepada Sekolah-sekolah Mubaligh Johor di SMK Convent, di sini Isnin.

Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Subramaniam mengulas laporan sebuah akhbar hari ini berhubung tindakan Singapura menaikkan syarat umur dari 18 kepada 35 tahun bagi rakyat pribumi Malaysia di Sabah dan Sarawak yang berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan di sana.

Perubahan polisi tersebut ekoran kes jenayah dan pergaduhan kebelakangan ini yang melibatkan rakyat pribumi Sabah dan Sarawak di republik tersebut.

Ia termasuk kes pembunuhan di sekitar kawasan Ang Mo Kio Avenue, Kallang, dan Geylang.

Subramaniam menafikan tindakan tersebut satu bentuk diskriminasi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain