suria

Kementerian Pelajaran Harap Peruntukan Khas Untuk Laksana Transformasi Pendidikan

MUAR: Kementerian Pelajaran berharap mendapat peruntukan khas untuk melaksanakan rangka tindakan kajian semula Pendidikan Nasional dalam Bajet 2013 nanti.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan khas diperlukan untuk melaksanakan anjakan besar-besaran dalam bidang pendidikan di negara ini melalui tiga fasa pelaksanaan pelan tindakan itu dalam tempoh 13 tahun.

Ini, katanya bagi memastikan Malaysia mampu mencapai kedudukan sebagai antara negara terbaik dalam bidang pendidikan menjelang 2025.

"Kita sudah memberitahu kepada Perdana Menteri dan beliau juga sedia maklum. Kita akan bentangkan laporan kepada beliau kerana menurutnya (rangka tindakan) ini penting dan beliau menyokong usaha ini (kajian semula Pendidikan Nasional).

"Beliau juga akan menentukan supaya jumlah peruntukan mencukupi dapat disediakan memandangkan kita memerlukan semua cadangan... ini tentu akan membabitkan belanjawan yang besar," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan perwakilan Bahagian Umno Pagoh di Kompleks Sri Pekembar sini hari ini yang turut dihadiri isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu mengulas mengenai pembentangan rangka tindakan kajian semula Pendidikan Nasional oleh Perdana Menteri pada Selasa ini, Muhyiddin berharap rakyat dapat menerimanya kerana ia merupakan inisiatif besar kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran untuk melakukan anjakan pendidikan negara.

"Kalau banyak usaha yang sudah dibuat, saya percaya ia akan bawa kesan yang lebih baik berbanding dulu," katanya.

Namun, katanya selepas tiga bulan dilancarkan kelak, kementerian masih memberi peluang kepada mana-mana pihak yang masih ingin mengemukakan pandangan bagi tujuan penambahbaikan rangka tindakan itu.

Katanya rangka tindakan itu kemudian akan dirumuskan dan dibentangkan kepada Kabinet sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain