suria

Usah Persoal Siapa Calon PRU13 -Umno Pahang

JERANTUT: Anggota Umno diminta tidak mempersoalkan siapa yang bakal dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13, sebaliknya bekerja keras bagi menghadapi pilihan raya umum yang disifatkan paling getir itu.

Ketua Umno Bahagian Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata anggota Umno perlu menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Perkara itu biarlah pucuk pimpinan yang menentukan, tetapi jika boleh, biarlah anak tempatan dan mereka yang diterima rakyat. "Yang penting, kita hendak menang, kita tidak mahu menang sorak, kampung tergadai," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerantut.

Beliau berkata anggota Umno juga diminta tidak terlalu yakin dan mendabik dada meskipun sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen disandang calon Barisan Nasional (BN).

"Situasi sekarang telah banyak berubah, malah Pilihan Raya Umum ke-13 ini sangat mencabar. Macam-Macam boleh berlaku. Jika silap langkah, kita akan kecundang, oleh itu, anggota Umno jangan leka dan perlu bekerja keras bagi mempertahankan Umno dan Barisan Nasional untuk terus menang, sekaligus berkuasa pada pilihan raya nanti," katanya.

Di BANDAR TUN RAZAK, Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Datuk Ismail Mohamad Said berkata anggota Umno tidak perlu bertindak mengikut emosi dan rentak pembangkang, sebaliknya perlu menjaga tatasusila parti serta tidak menyalahi undang-undang negara.

"Tidak perlulah kita mengikut rentak mereka (pembangkang), Umno adalah parti keramat orang Melayu dan tunjang pemerintahan negara, apa yang penting, kita bangkit menentang segala tohmahan dan fitnah pembangkang," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita dan Puteri Umno Bahagian Kuala Krau.

Di TEMERLOH, Ketua Pergerakan Wanita Umno Pahang Datuk Rosni Zahari meminta semua anggota pergerakan itu tidak mempersoalkan siapa yang bakal menjadi calon pada PRU-13 itu nanti.

"Wanita Umno tidak terlalu mempersoal siapa calon pilihan raya nanti, yang penting, calon BN itu menang dengan majoriti besar. "Kita akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti, yang menentukan siapa calon, dan kita akan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding nanti," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Temerloh.

Rosni turut meminta anggota Wanita Umno mengetepikan perkara remeh yang boleh menggugat keutuhan parti.

"Sebagai sayap dan jentera parti, anggota pergerakan Wanita Umno perlu melupakan dahulu kepentingan diri, sebaliknya mengutamakan parti kerana jika parti tewas, maka tiada makna lagi bagi anggota," katanya.

Beliau juga berkata Wanita Umno negeri dan bahagian telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi PRU-13.

"Semua bahagian wanita kini hanya menunggu masa, ada bahagian sudahpun mengenal pasti pengundi dan menjalankan lain-lain kegiatan bagi menjamin kemenangan BN," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain