Umno Akan Singkir Anggota Sabotaj Parti - Muhyiddin - Semasa | mStar

Umno Akan Singkir Anggota Sabotaj Parti - Muhyiddin

MUAR: Mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan disingkir daripada parti.

Amaran keras itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama terhadap mereka yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon. "Dalam pilihan raya akan datang kalau dia sabotaj, kita akan singkir dia keluar daripada parti, kita tidak perlukan orang sebegini, minta maaf..."

"Presiden pun telah bersetuju. Kami tidak memerlukan orang yang mensabotaj calon kerana kalau kalah calon, kalahlah kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bakri di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata dalam keadaan politik yang disifatkan sebagai genting pada masa kini, Umno amat menuntut kepada kesetiaan dan ketaatan anggotanya kepada parti. "Dalam sejarah pilihan raya di Kelantan sendiri kita pernah hilang satu kerusi sebab dua undi dan kerana itu juga kita tidak cukup satu kerusi untuk tubuh kerajaan di negeri Kelantan, jadi... jangan sabotaj.

"Letakkan kesetiaan dan ketaatan kepada parti bukan pemimpin. Kalau kita nak letak calon, kita nilai penerimaan masyarakat dan teliti satu persatu kerana kita tidak boleh main-main lagi," katanya.

Sementara itu dalam sidang media yang diadakan selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di sini, beliau berkata pemecatan akan dilakukan selepas siasatan dilakukan.

"Pemecatan dibuat berdasarkan laporan. Kita tidak bertindak sewenang-wenang. Selepas disiasat dan sekiranya benar maka tak ada pilihan dia kena terima hukuman," katanya. Katanya terbukti berdasarkan pengalaman lalu kekalahan Barisan Nasional (BN) di sesetengah negeri bukan kerana rakyat tidak menyokong calon tetapi kerana masalah dalaman bahagian apabila ada pihak yang tidak mahu membantu malah mensabotaj calon dan parti.

"Pengalaman lepas itu amat berguna kepada kita bagi mengelak perkara tersebut berulang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara sedemikian tidak lagi berlaku dalam PRU akan datang.

Ini kerana, katanya kerana semua anggota BN tahu tentang pentingnya pilihan raya umum akan datang kepada parti.

Muhyiddin turut meminta semua pihak akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon. Ini kerana, katanya pemilihan calon itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti, perundingan dengan pemimpin di semua peringkat dan menjalani tapisan yang begitu rapi bagi menentukan calon yang dipilih adalah calon terbaik.

"Sebab itu kita harap mereka bukan hanya akan menerima sahaja keputusan itu tetapi turut bekerja membantu calon dan kawasan kita untuk mencapai kemenangan cemerlang. Bagi saya itu adalah satu perkara yang amat penting sekali," katanya.

Beliau berkata pemantauan akan dibuat di semua kawasan lebih-lebih lagi yang dahulunya terlepas ke tangan pembangkang dan boleh dimenangi semula, kawasan yang mempunyai masalah dalaman, kubu kuat dan kawasan yang mempunyai persaingan sengit daripada pembangkang.

Semua parti komponen BN telahpun menghantar senarai nama calon mereka dan kini masih dalam peringkat penilaian, katanya.

Kata Muhyiddin terdapat ramai tokoh yang berkelayakan untuk menjadi calon namun BN tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut dan perlu membuat proses pemilihan yang ketat bagi memastikan kemenangan parti. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

Artikel Lain