suria

Polis Hampir Selesai Jalankan Siasatan Himpunan Janji Demokrasi

KUALA LUMPUR: Polis hampir selesai menjalankan siasatan terhadap perhimpunan Janji Demokrasi yang telah diadakan pada malam Merdeka.

Ketua Polis Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata polis telah selesai merakam keterangan daripada saksi dan penganjur perhimpunan tersebut.

"Kertas siasatan sedang disiapkan dan perlu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi pada hari Ahad.

Sementara itu, polis pada Ahad menyoal siasat Mohamad Sabu, Tian Hua dan Hishammudin Rais berhubung himpunan tersebut.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, penganjur bersama Janji Demokrasi dan ahli Parlimen Batu Tian Chua, yang datang berasingan, dilihat memasuki ibu pejabat polis Dang Wangi sekitar pukul 4.00 petang pada hari Ahad.

Sejurus tiba, Tian Chua berkata beliau dimaklumkan bahawa polis telah memanggil aktivis yang menghadiri perhimpunan pada 30 Ogos.

"Saya berunding dengan peguam saya dan mengatur untuk polis mengambil keterangan saya hari ini bagi membantu siasatan polis kerana saya menghadiri perhimpunan," katanya sambil menambah bahawa dia melihat tiada apa yang salah dengan perhimpunan tersebut.

Mohamad Sabu berkata, polis pada mulanya meminta beliau memberikan kenyataan pada 5 September tetapi beliau mengadakan perjumpaan hari ini kerana perlu menghadiri beberapa majlis di sini.

"Saya telah disoal mengenai pemimpin pembangkang yang menghadiri perhimpunan, siapa menganjurkan perhimpunan itu dan berapa ramai orang yang menghadirinya," katanya kepada pemberita sambil menambah bahawa dia tidak menjawab apa-apa soalan.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan penganjur bersama Janji Bersih Maria Chin Abdullah sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan pada 6 September.

Mereka juga memilih untuk tidak menjawab sebarang soalan daripada polis.

Artikel Lain