suria

Mayat Bayi Lelaki Ditemui Dalam Beg Pakaian Di Setapak

KUALA LUMPUR: Mayat bayi lelaki yang telah reput di beberapa bahagian badan ditemui dalam sebuah beg pakaian dekat Surau Al-Falaq, Danau Kota, Setapak di sini, Sabtu.

Mayat bayi itu ditemui kira-kira pukul 9 pagi oleh penuntut wanita sebuah kolej Islam ketika ke surau untuk menyertai aktiviti gotong-royong.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata anggota polis turut menemui sekeping yang ditulis dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

"Nota itu menyebut 'Nama saya Mintah, tolong pengurus masjid tolong urus bayi ini'.

"Selain itu, sepasang baju kurung kuning, lampin dan seluar panjang warna hitam juga ditemui dalam beg itu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Zakaria berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya bayi itu berusia tujuh hari dan meninggal dunia dua hari lepas.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran. -BERNAMA

Artikel Lain