suria

KWSP Sasar Peluang Pelaburan Hartanah Di UK Dan Australia

LONDON: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyasar peluang pelaburan dalam hartanah di United Kingdom dan Australia bernilai 400 hingga 500 juta pound dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Azlan Zainol berkata KWSP setakat ini telah melabur satu bilion pound bagi tujuh bangunan di United Kingdom.

"Kami juga menyasar peluang pelaburan di Eropah, tetapi kami lebih selesa di United Kingdom disebabkan undang-undangnya yang sama dengan Malaysia.

"Australia juga mempunyai struktur undang-undang yang sama dengan kita," katanya kepada wartawan Malaysia semasa majlis familiarisasi projek stesen janakuasa Battersea di sini.

Mengenai pelaburan KWSP dalam hartanah di Australia, Azlan berkata semua ketiga-tiga hartanah yang dilabur adalah ruang pejabat, satu hartanah adalah pelaburan langsung manakala dua yang lain menerusi pelaburan dalam dana.

"Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas, kami telah melabur di luar negara," katanya sambil menambah 23 peratus daripada dana KWSP telah diluluskan bagi pelaburan di luar negara.

"Setakat ini, kami telahpun melabur 12 peratus. Kami mencari bangunan dan pulangan yang baik di England dan Australia," katanya.

Berkaitan pelaburan dalam projek Stesen Janakuasa Battersea di London, di mana KWSP memiliki 20 peratus pegangan dalam syarikat tujuan khas yang dinamakan Battersea Project Holding Company Ltd, Azlan berkata KWSP merupakan pelabur pasif dan menyerahkan kepada dua rakan kongsi yang lain, Sime Darby Bhd dan SP Setia Bhd, untuk memacu projek itu.

Mengenai jangkaan pulangan daripada projek pembangunan hartanah ikon pinggir sungai di tengah London itu, Azlan berkata:"Dalam mana-mana projek pembangunan hartanah, kami menjangka lebih daripada 10 peratus setahun."

"Saya mahu melihat projek ini selesai dalam tempoh sembilan hingga 10 tahun," katanya.

Pembinaan projek Stesen Janakuasa Battersea itu akan bermula sekarang kerana penjualan tapak tersebut kepada konsortium Malaysia yang terdiri daripada Sime Darby, SP Setia dan KWSP telahpun selesai.

Projek itu dijangka mengambil masa minimum 10 tahun di bawah pelbagai fasa.

Mengenai risiko dalam projek Stesen Janakuasa Battersea itu, Azlan berkata: "Ini merupakan kawasan pembangunan yang amat besar di London dan yang paling penting Sime Darby dan SP Setia terlibat dalam projek ini." - BERNAMA

Artikel Lain