suria

KDN Harap Belanjawan 2013 Dapat Teruskan Fasa Kedua NKRA

KLUANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap Belanjawan 2013 yang akan diumumkan 28 Sept ini dapat meneruskan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan kebajikan pasukan keselamatan.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, (di bawah NKRA) usaha kini ditumpukan bagi membanteras jenayah di tempat awam terutamanya di pusat beli belah dan kawasan letak kenderaan selepas fasa pertama NKRA yang menumpukan pengurangan jenayah jalanan semakin menampakkan hasil.

"Seperti biasa kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan yang mana keutamaan kita adalah kepada NKRA.

"Kita sudah memasuki fasa seterusnya dengan menumpukan pendekatan baru untuk membanteras jenayah sekaligus mengurangkan ketakutan masyarakat kepada jenayah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran Astro di Felda Kahang Timur, di sini, Ahad.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata pihaknya meletakkan keutamaan kepada soal kebajikan pasukan keselamatan terutama polis dan Jabatan Imigresen supaya mereka tidak bertugas dalam kekurangan.

Beliau berkata setiap anggota pasukan itu sentiasa menjalankan tugas dengan penuh dedikasi walaupun mereka dikritik dan dicemuh oleh masyarakat.

"Semangat mereka tidak pernah luntur walaupun dikritik. Kita (KDN) mesti peka membela nasib mereka kerana mereka sebahagian daripada kelompok masyarakat," katanya.

Pada majlis yang dihadiri lebih 15,000 orang itu, Hishammuddin turut menerima sumbangan amal Astro Kasih sebanyak RM50,000 yang disalurkan kepada Tabung Kebajikan Parlimen Sembrong.

Wang tersebut menurut Hishammuddin, akan digunakan bagi membina dua pusat dialisis yang akan ditempatkan di Dewan Undangan Negeri Kahang dan Paloh. - BERNAMA

Artikel Lain