suria

Calon SPM Maut Dalam Kemalangan

GEORGE TOWN: Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Bukit Belah, Bayan Lepas Ahad.

Nur Syazana Azeme, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md. Zin berkata kejadian pukul 7.30 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera parah.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu laju dari arah Balik Pulau cuba memotong sebuah lori, namun pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan dua motosikal dari arah bertentangan, katanya ketika dihubungi, di sini.

"Kemalangan itu menyebabkan motosikal yang dinaiki Nur Syazana terpelanting sementara sebuah lagi motosikal yang dinaiki lelaki berusia 40-an terbabas dan terperosok di bahagian hadapan lori berkenaan," katanya.

Beliau berkata lelaki itu dikejarkan ke Hospital Balik Pulau untuk mendapat rawatan. Hatta berkata pemandu kereta itu kemudian menyerah diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain