suria

Sisa Radioaktif Harus Dihantar Keluar Dari Malaysia: Liow

BENTONG: Kabinet telah memutuskan bahawa Lynas harus menghantar sisa-sisa radioaktif keluar dari Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Syarat itu, katanya, ditetapkan oleh kerajaan dan kilang memproses nadir bumi dari Australia itu perlu mematuhinya.

"Ia bukan sebahagian daripada syarat di bawah lesen pengendalian sementara (TOL) Lynas tetapi keputusan kerajaan.

"Mereka harus memproses sisa-sisa itu ke dalam bentuk produk dan menghantar ia keluar dari Malaysia. Lynas sudah menunjukkan mereka mampu melakukannya," katanya selepas menghadiri majlis makan malam sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Belia Bentong di sini, Jumaat.

Liow yang juga pengerusi jawatankuasa pemantau Lynas berkata, kerajaan akan memantau operasi kilang memproses nadir bumi itu walaupun Lynas telah menyuarakan kesanggupan menghantar keluar residu tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) berkata TOL diberikan kepada Lynas bukanlah sekeping cek kosong membenarkan mereka melakukan apa saja.

Ketua Pengarah AELB, Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkata TOL hanya membenarkan operasi terhad di kilang itu terutamanya di peringkat awal di mana mereka perlu terlebih dahulu menentukan sama ada atau tidak semua peralatan mematuhi keperluan keselamatan.

"Kita akan bekerjasama dengan jabatan dan kementerian berkaitan untuk memastikan penduduk tempatan mendapat manfaat daripada projek ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain