suria

PAS Pusat Tidak Gesa Majlis Syura Pecat Nasharudin - Mahfuz

PETALING JAYA: Pimpinan PAS pusat tidak pernah menggesa agar bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa dipecat hanya kerana beliau meminta parti itu menilai semula kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat dalam isu pelaksanaan hukum Hudud.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata sekiranya pimpinan tertiggi parti itu mahu memecat Nasharudin mereka tidak perlu membawa isu berkenaan kepada Majlis yuara.

"Kita tidak perlu merujuk beliau (Nasharudin) kepada Majlis Syura jika kita mahu tindakan tegas diambil ke atasnya. Kalau kita mahu buat begitu kita boleh lakukan diperingkat pimpinan pusat sahaja,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PAS pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama PAS pusat mahu Nasharudin dikenakan tindakan tegas ekoran kenyataannya sebelum ini.

"Kita tidak memberi apa-apa tekanan kepada Majlis Syura untuk pecat Nasharudin. Namun beliau sepatutnya tahu apa yang perlu dan tidak perlu dia cakap," katanya.

Majlis Syura PAS akan bermesyuarat Ahad ini bagi membincangkan isu Nasharudin.

Sebelum ini Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok dilaporkan menggesa parti itu keluar pakatan pembangkang berikutan pendirian DAP dalam isu hudud.

Malah Nasharudin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dalam PAS ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Nik Abdul Aziz.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah dilaporkan berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz mendakwa Umno telah bersetuju untuk membentangkan akta berkaitan Hudud yang akan dibuat pada sesi Parlimen September ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyelar tindakan ahli Parlimen PAS itu kerana membuat kenyataan palsu.

"Ini satu pembohongan,” kata Nazri ketika dihubungi.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Mahfuz bahawa beliau akan membentangkan akta berkaitan Hudud pada sesi Parlimen akan datang.

Mahfuz dilaporkan berkata beliau telah menerima maklumat dalaman bahawa Majlis Tertinggi Umno dan Kabinet telah bersetuju untuk membentangkan akta Hudud berkenaan.

"Saya juga diberitahu Kabinet juga telah bersetuju mengenainya," katanya.

Mahfuz bagaimanapun enggan mengulas mengenainya sebaliknya Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata beliau akan membuat ulasan sebaik sahaja akta tersebut dibentangkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain