suria

Komponen BN Boleh Contohi Umno Singkir Anggota Sabotaj Parti -Hishammuddin

SEPANG: Parti komponen Barisan Nasional (BN) juga boleh mencontohi Umno dalam mengambil tindakan tegas menyingkirkan mana-mana anggota atau pemimpin yang mensabotaj parti dalam pilihan raya umum.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pendirian tegas itu penting bagi memastikan setiap anggota dalam BN jujur dan ikhlas serta membolehkan BN terus memerintah negara ini.

"Kalau Umno boleh buat pendirian sebegitu rupa tidak ada sebab parti-parti komponen lain tidak berpegang kepada prinsip yang sama.

"Tapi itu semua bergantung kepada mereka untuk memutuskannya kerana kami tidak boleh membuat keputusan untuk parti lain...tapi saya percaya prinsip dan nilai yang sama diamal parti komponen lain kerana kita tidak mahu ada anggota yang tidak setia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sepang, di sini, Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh, hari ini berkata mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon pada pilihan raya umum akan disingkir daripada parti.

Hishammuddin yang menyokong penuh saranan itu, berkata langkah itu amat penting dalam situasi negara akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 bagi memastikan tidak ada anggota dalam parti yang bertalam dua muka dan berkompromi dengan parti pembangkang.

"Kita kena tahu siapa mereka yang sebenarnya betul-betul ikhlas dengan kita. Percayalah kita perhatikan semua. Jadi mereka yang kata bersama-sama kita, pastikan bukan sahaja di luar menunjukkan sokongan tetapi betul-betul ikhlas.

"Ia bukan berkisar pada ahli-ahli Umno sahaja, kita nak tahu siapa kawan dan lawan dalam BN, kita nak tengok siapa yang ikhlas dan jujur dalam usaha kita menerokai ekonomi negara, dalam agenda yang lebih besar," katanya.

Menyentuh tindakan sekumpulan individu yang menghina pemimpin negara pada sambutan ambang merdeka 30 Ogos lepas, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata walaupun individu itu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, tindakan undang-undang tetap dikenakan.

"Mereka tertakluk kepada undang-undang negara. Bermakna minta maaf pun mereka tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang yang ada.

"Ini hasil kebangkitan kesedaran rakyat itu sendiri di mana kepentingan awam telah menentukan budaya sebegini mesti ditolak dan tindakan mesti diambil," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain