suria

Koh Akan Jawab Isu Jual Tanah Di P.Pinang Dalam Masa Terdekat

BUTTERWORTH: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan menjawab isu penjualan tanah ketika Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu dalam tempoh terdekat.

Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau perlu memeriksa dan meneliti laporan berhubung penjualan tanah berkenaan sebelum memberi penjelasan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Saya pasti akan memberinya (Lim) jawapan dalam masa terdekat, tetapi saya tidak mempunyai fail sekarang kerana kami telah meninggalkan fail di pejabat Ketua Menteri, jadi saya perlu baca laporan dan periksa fail-fail itu.

"Sepatutnya, beliau tidak perlukan penjelasan daripada kami kerana semua yang beliau nak, ada dalam fail di pejabatnya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Dana Khas Belanjawan 2012 kepada 37 sekolah mubaligh zon utara di sini, Sabtu.

Koh mengulas kenyataan Lim yang meminta kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini menjelaskan semua isu penjualan tanah yang dilakukan jika mahu beliau berbuat demikian dalam isu tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin.

Mengikut cadangan asal kerajaan BN sebelum ini, tanah kosong seluas 0.45 hektar di Taman Manggis itu diperuntuk bagi membina 272 rumah mampu milik fasa kedua selepas pembinaan 320 unit dalam fasa pertama siap beberapa tahun lepas.

Terdahulu, ketika menyampaikan dana khas itu, Koh berkata kerajaan akan berbincang terlebih dahulu dengan badan yang mewakili sekolah mubaligh bagi memastikan agihan peruntukan adil dan saksama.

"Secara purata, setiap sekolah akan menerima antara RM40,000 dan RM50,000 dan sekolah yang mendapat peruntukan lebih adalah disebabkan ada projek pembinaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain