suria

Janji PM Akan Dimasukkan Dalam Manifesto BN Kelantan

BACHOK: Memartabatkan Islam, pembinaan lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai, mengatasi masalah air dan perumahan rakyat yang merupakan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Kelantan pada pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata janji itu pasti ditepati jika rakyat Kelantan memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum itu.

"Rakyat Kelantan perlu mempercayainya kerana janji itu diberi oleh pucuk pimpinan tertinggi negara," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis Hari Raya Aidil Fitri anjuran Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Kelantan di Tangok di sini, Sabtu.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata selain itu janji untuk membina stadium bagi mengantikan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V juga akan dimasukkan ke dalam manifesto itu.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri tidak dapat membina Lebuhraya Rakyat sebagaimana yang dirancang kerana halangan kerajaan persekutuan, beliau berkata ia adalah satu fitnah yang sengaja ditimbulkan untuk menutup kegagalan kerajaan negeri membinanya sendiri dengan kos hampir RM2 bilion.

Beliau berkata kerajaan persekutuan tidak pernah menghalangnya bahkan tidak ada niat untuk mengambil sebarang tindakan termasuk undang-undang terhadap kerajaan negeri.

"Dari awal-awal lagi kita sudah katakan kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan untuk membinanya tanpa sokongan kerajaan persekutuan," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok.

Beliau berkata janji itu hampir sama dengan cadangan untuk membina stadium dengan kos ratusan juta ringgit di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang sehingga sekarang janji hanya tinggal janji. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain