suria

Gara-Gara Tegur Jangan Ambil Dadah, Lelaki Mati Ditikam

KOTA BAHARU: Gara-gara menasihati rakan serumahnya agar tidak terbabit dengan gejala dadah, seorang lelaki maut akibat ditikam dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian antara pukul 8 dan 9 pagi itu, Mohd Yusof Zakaria, 41, ditikam dengan sebilah pisau yang mengenai jantungnya.

"Mangsa mati ketika dalam perjalanan ke klinik di Rantau Panjang," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata suspek yang berumur 37 tahun menyerah diri di Balai Polis Lubuk Setol, setengah jam selepas kejadian.

Katanya polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 sentimeter daripada lelaki itu yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut. Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah dan mempunyai rekod membabitkan dadah pada 2002, katanya.

Mengulas lanjut kejadian itu, Mazlan berkata insiden berlaku di hadapan kantin di kawasan perlombongan bijih besi kampung berkenaan, selepas mangsa menegur suspek agar tidak terbabit dengan dadah dan berhenti daripada mengganggu keluarga sendiri.

"Suspek baru bekerja di lombong itu dalam tempoh sembilan bulan dan berasal dari Benut, Johor manakala mangsa yang dilahirkan di Kedah kini menetap di Pasir Mas dan tinggal bersama suspek," katanya.

Mangsa katanya ditikam dua kali, namun tikaman pertama berjaya dielak sebelum ditikam kali kedua yang tepat ke jantung mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain