suria

ADUN Kuala Perlis Cedera Ditumbuk

KANGAR: Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Perlis, Mat bin Hassan cedera pada bahagian bawah mata kirinya apabila ditumbuk seorang lelaki selepas menziarahi kematian seorang penduduk di Kampung Seberang Tok Pi di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, wakil rakyat itu ditumbuk seorang lelaki berumur 36 tahun pada pukul 9.15 pagi yang tidak berpuas hati dengan jawapan berhubung aduannya mengenai Pasar Besar Kuala Perlis yang kekurangan pelanggan berikutan kewujudan pasar Burma di kawasan itu.

Sebelum itu, Mat memaklumkan lelaki itu bahawa beliau akan berbincang dengan peniaga pasar besar berkenaan berhubung perkara itu.

Ekoran kejadian itu, Mat yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis membuat laporan polis pukul 11 pagi.

Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang nelayan pernah ditangkap dalam beberapa kes mengikut Akta Dadah Berbahaya di negeri ini, katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi, wakil rakyat itu berkata, beliau tidak mahu membesar-besarkan kes itu dan menyerahkannya kepada polis untuk menyiasat.

Mat, seorang bekas guru melepaskan jawatannya pada 2008 untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-12 dan memenangi kerusi dewan undangan negeri Kuala Perlis dengan majoriti 2,521 undi mengalahkan calon PAS Ahmad Tajuddin Salleh. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain