suria

Utusan Melayu Dapat Kebenaran Merayu

PUTRAJAYA: Utusan Melayu (M) Bhd mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan di sini Jumaat untuk merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya syarikat itu membayar gantirugi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebanyak RM200,000 kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah mengenainya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga anggota, membenarkan permohonan Utusan Melayu untuk kebenaran membuat rayuan.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Mohtaruddin Baki.

Hakim Raus berkata, telah menjadi kebiasaan untuk mahkamah memberikan kebenaran bagi kes dirayu di mahkamah yang ia pertama didengar.

Terdahulu, Raus tidak memberikan penangguhan yang diminta peguam Ram Karpal Singh kerana peguam Jagdeep Singh Deo yang mengendalikan kes itu, sakit.

Utusan Melayu diwakili peguam Mohana Kumar.

Pada Jun tahun ini, Mahkamah Tinggi George Town memerintahkan Utusan Melayu membayar gantirugi berjumlah RM200,000 kepada Lim terhadap artikel yang disiarkan akhbar harian Utusan Malaysia bertarikh 12 Mac 2008, di bawah tajuk 'Tiada Lagi DEB'. - BERNAMA

Artikel Lain