suria

Polis Masih Siasat Pengakuan Dua Individu Dalam Blog Singa Selatan

KUALA LUMPUR: Polis masih menyiasat pengakuan dua individu menerusi blog Singa Selatan yang mendakwa bertanggungjawab membawa bendera Sang Saka Malaya ketika Himpunan Janji Demokrasi pada sambutan ambang merdeka, malam Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata siasatan meliputi pelbagai sudut itu bertujuan mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab dalam insiden yang mendapat kecaman banyak pihak itu.

"Selain itu, siasatan juga bagi mencari kesahihan kenyataan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan rumah terbuka Aidilfitri Polis Kuala Lumpur di Pasar Seni, di sini, Khamis.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Hasutan.

Melalui satu entri yang dimuat naik dalam blog itu pada 31 Ogos lepas, seorang individu bersama seorang rakannya mengaku bertanggungjawab mengibarkan bendera tersebut pada malam terbabit dan mendakwa mereka tidak mewakili mana-mana parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang.

Mereka mendakwa mewakili golongan anak muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh sesetengah pihak, dan tindakan itu bukan bermotif untuk menukar Jalur Gemilang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salleh menafikan tindakan polis menggari individu yang menyerah diri berhubung insiden di malam ambang merdeka itu sebagai tidak mengikut prosedur dan menyalahi peraturan.

Beliau yang mengulas reaksi orang ramai yang mempertikai tindakan polis menggari seorang remaja perempuan yang menyerah diri di Balai Polis Sentral, Johor Baharu semalam, yang disiarkan sebuah laman sosial, berkata tindakan menggari adalah prosedur biasa dalam menangkap pesalah yang sepatutnya tidak dijadikan isu.

"Bila kita dah tahan orang, kita gari, itu adalah prosedur biasa yang tidak menjadi kesalahan. Jadi menggari tidak harus menjadi isu," katanya.

Remaja itu adalah antara tiga individu yang ditahan setakat ini daripada 11 orang yang dikehendaki polis berhubung tindakan membawa bendera 'baharu' Malaysia, memijak gambar pemimpin negara dan menunjuk punggung di khalayak ramai semasa sambutan ambang merdeka. - BERNAMA

Artikel Lain