suria

Pijak Gambar Pemimpin: Hishammuddin Mahu Tindakan Tegas

BATU PAHAT: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terbabit dalam perbuatan memijak gambar pemimpin dan mengibar bendera baharu.

"Kes ini dianggap kes kepentingan awam dan polis menyiasat dan kalau tidak boleh didakwa kita nak tahu apa sebab," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Minggu Haluan Siswa Universiti Tun Hussein Malaysia, di sini Khamis.

Katanya tindakan tegas itu bukan demi kepentingan politik tetapi disebabkan masyarakat marah, jijik dan mual dengan perbuatan tersebut.

"Saya tidak mahu dituduh mencampuri dalam hal polis, kementerian menekankan dasar dan pendekatan secara menyeluruh dan selepas itu menyerahkan kepada polis, AG (Peguam Negara) dan mahkamah menjalankan tugas masing-masing," katanya.

Hishammuddin berkata bantahan ramai pihak terhadap insiden berkenaan menunjukkan majoriti rakyat Malaysia tidak menerima budaya negatif yang dilakukan individu terbabit.

"Perbuatan itu bercanggah dengan budaya kita dibesarkan. Kalau kita tidak membuat pendirian dan majoriti tidak bersuara, ia akan menular di mana apa saja kelebihan serta keunikan di negara akan terhakis sedikit demi sedikit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain