suria

Pesawat Ringan Terbabas, Juruterbang & Penumpang Selamat

KUANTAN: Seorang juruterbang dan penumpang sebuah pesawat ringan milik persendirian terselamat apabila pesawat jenis Piper 34200 terbabas di Lapangan Terbang Pulau Tioman di sini, Jumaat.

Jurucakap polis berkata juruterbang, Salem Ibrahim yang juga seorang peguam, dan Foo Shing Yng, kedua-duanya warga Singapura tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden yang berlaku pada 2.02 petang Jumaat. "Pesawat terbabit dipercayai terbabas semasa juruterbang melakukan pendaratan akibat tayar hadapan yang tidak berfungsi dengan baik.

"Situasi itu menyebabkan pesawat berkenaan hilang kawalan dan terseret hingga ke tengah landasan," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat lapangan terbang bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan kecemasan, katanya.

"Kini pesawat berkenaan telah dialih dari tempat kejadian dan ditempatkan di kawasan lapangan terbang pulau peranginan berkenaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain