suria

Muhyiddin Gesa Konsortium Feri Langkawi Beri Diskaun

LANGKAWI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta syarikat pengendali feri di Langkawi supaya melaksanakan sepenuhnya pemberian kadar tambang istimewa kepada penduduk Langkawi.

Katanya pemberian diskaun feri kepada penduduk Langkawi telah lama dipersetujui kerajaan dan kerana itu beliau mahu pemberian diskaun sepenuhnya dikuatkuasa serta merta.

"Kalau mereka tak buat kita boleh ambil tindakan kepada konsortium feri terbabit. Dulu waktu tak ada konsortium mereka bersaing (letak harga rendah) tapi bila dah ada konsortium mereka letakkan harga. Jangan hisap darah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini, Jumaat.

Sebelum September 2011, penduduk Langkawi menikmati diskaun harga tiket sebanyak RM3 daripada harga asal RM23 bagi laluan Kuala Kedah dan RM18 bagi Kuala Perlis.

Bagaimanapun, bermula September 2011, kadar istimewa bagi penduduk Langkawi tidak lagi terpakai pada waktu cuti sekolah, curi umum, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Selain itu, sebelum ini pesara, warga emas dan pelajar serta orang kurang upaya diberikan kadar tambang kanak-kanak iaitu RM17 bagi laluan Kuala Kedah dan RM13 bagi Kuala Perlis tetapi kini tidak diberikan langsung.

Muhyiddin berkata masalah feri itu sudah lama menjadi masalah yang menyebabkan kos bebanan kepada penduduk Langkawi yang selalu berulang alik ke tanah besar.

"Saya minta Kementerian Pengangkutan kuatkuasakan sepenuhnya. (Kerajaan) dah putuskan (harga tiket istimewa) lama tetapi tak dikuatkuasakan sepenuhnya. Sekarang perlu dilakukan dalam sehari dua. Kita akan pantau," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata jika ada rakyat merasakan konsortium yang dibentuk syarikat feri itu adalah satu bentuk kartel atau monopoli, mereka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Persaingan.

"Dulu mereka syarikat yang bersaing. Bila bentuk konsortium berpakat letak harga daripada RM10 kepada RM23. Itu boleh jadi kartel. Kita dah ada undang-undang di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Akta Persaingan ini untuk wujudkan persaingan yang sihat. Jangan ada monopoli atau kartel, disebabkannya pengguna dibebankan dengan kos lebih tinggi daripada sepatutnya. Mereka boleh mengadu kepada suruhanjaya untuk menyiasat jika konsortium naikkan harga, perkhidmatan tak baik, kerusi rapat dan pengguna tunggu berjam-jam untuk dapat tiket," katanya.

Isu perkhidmatan feri di Langkawi dibangkitkan Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dalam ucapannya pada majlis itu.

Nawawi turut membangkitkan mengenai keadaan fizikal feri yang tidak baik seperti tempat duduk yang sempit serta kualiti perkhidmatan pelanggan syarikat feri.

Sehubungan itu, Nawawi meminta kerajaan mewujudkan perkhidmatan Feri Rakyat 1Malaysia bagi menyelesaikan masalah itu dan bagi memberikan perkhidmatan feri yang lebih sempurna.

Mengenai Feri Rakyat 1Malaysia itu, Muhyiddin berkata kerajaan bersedia mempertimbangkannya tetapi satu kajian lengkap perlu dijalankan dari segi daya majunya.

"Saya tak mahu, hari ini feri itu beroperasi, setahun lagi saya datang dah tak beroperasi," katanya.

Mengenai permintaan diwujudkan bot ambulans bagi membawa pesakit ke hospital besar atau jenazah keluar dari pulau peranginan ini, beliau berkata masalah itu akan diberikan perhatian tetapi dalam masa yang sama kerajaan akan berusaha meningkatkan taraf Hospital Langkawi supaya kes-kes besar turut dapat dikendalikan di hospital di pulau ini.

Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan untuk meneliti masalah penduduk Pulau Tuba yang berhadapan dengan masalah bekalan elektrik yang sering terputus.

"Kita akan pertimbangkan permohonan kabel di dasar laut. Kosnya RM60 juta untuk dua kabel. Mungkin kita lihat untuk satu kabel dulu RM30 juta. Pada dasarnya kita setuju," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM42.1 juta untuk pembinaan dua sekolah baru di pulau ini. BERNAMA

Artikel Lain