suria

Mahkamah Batal Saman Terhadap Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada Jumaat membatalkan saman fitnah yang dikemukakan Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berhubung artikel di akhbar Suara Keadilan, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membenarkan permohonan Saifudin untuk membatalkan saman Ibrahim terhadapnya dengan kos RM8,000. Beliau membuat keputusan itu dalam kamarnya.

Peguam Puspawati Rosman yang mewakili Saifudin berkata antara alasan yang diberi hakim itu ialah mahkamah bersetuju dengan pembelaan Saifuddin bahawa artikel itu tidak berbaur fitnah.

Pada 2 Jun 2010, Ibrahim mengemukakan saman berjumlah RM2 juta ke atas Saifuddin kerana didakwa memfitnahnya.

Menerusi pernyataan tuntutan, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa Saifuddin secara palsu dan dengan berniat jahat di Suara Keadilan edisi minggu 27 April hingga 4 Mei 2010 menyebarkan perkataan yang membabitkannya dengan perniagaan.

Ibrahim mendakwa perkataan tersebut disebarkan dengan niat jahat untuk mencemarkan nama dan reputasi baiknya, dan perkataan itu telah menyebabkan beliau dihina, disingkirkan dan diabaikan orang awam.

Selain ganti rugi am berjumlah RM2 juta, Ibrahim turut menuntut satu injunksi melarang anggota Parlimen Machang itu, dengan sendiri atau melalui pekerja dan/atau ejen beliau daripada mengulangi perkataan yang sama terhadapnya. BERNAMA

Artikel Lain