suria

Keputusan Kajian Semula Peraturan Pengambilan Penjawat Awam Diserah Kepada SPA Oktober

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menyerahkan keputusan kajian semula 26 daripada 593 dasar atau peraturan yang digunapakai dalam menentukan pengambilan penjawat awam kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Oktober ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata perbincangan akhir oleh pihaknya akan diadakan pada bulan depan sebelum keputusan penuh mengenainya diserahkan kepada SPA.

Beliau berkata kongres dalam satu pertemuan dengan SPA pada Julai lepas diberi tempoh tiga bulan untuk menyemak 26 dasar itu yang digunapakai dalam menentukan pengambilan penjawat awam bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa.

Dasar-dasar itu dipilih untuk dikaji kerana ia dianggap tidak mesra rakyat kepada pemohon pekerjaan di sektor awam , dan mungkin dianggap hanya sesuai pada zaman ia mula diperkenalkan.

Omar berkata antara kajian yang dijalankan oleh Cuepacs ialah mengkaji semula dua dasar baharu yang tidak dipersetujui oleh kongres iaitu membenarkan pemegang Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajar Malaysia, serta membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sebelum ini.

"Dasar yang berkuatkuasa Julai lepas itu dilihat sebagai tidak adil kepada lepasan SPM yang berkelayakan untuk menduduki jawatan yang diperuntukkan kepada mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri Cuepacs, di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Pangarah SPA Datuk Farida Mohd Ali.

Omar juga turut mengulangi permintaan Cuepacs supaya kerajaan mengkaji pelaksanaan skim insurans khas kepada penjawat awam dan skim pinjaman perumahan terutama bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000.

"Kami akan adakan pertemuan dengan bahagian perumahan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi mengkaji bagaimana hendak selesaikan masalah pinjaman perumahan dan harga rumah," katanya.

Sebelum ini, Cuepacs memohon kerajaan agar mengkaji kadar faedah pinjaman perumahan empat peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini diturunkan kepada satu peratus. - BERNAMA

Artikel Lain