suria

Hentikan Budaya Sabotaj Antara Parti - Syed Ali

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee menggesa semua parti politik di negara ini supaya bersikap profesional dan menghentikan budaya sabotaj antara satu sama lain.

Beliau berkata, amalan tidak sihat itu bukan hanya memporak-perandakan rakyat tetapi menjejaskan kestabilan negara.

"Saya minta semua pihak sama ada dari parti kerajaan mahupun pembangkang supaya bersikap profesional ketika berkempen," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden terbaru melibatkan sebuah bas kempen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang disimbah dengan cat merah di Jalan Macalister, George Town kira-kira pukul 7 pagi Jumaat.

Ketika kejadian, bas tersebut diletakkan di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang.

Ketika ditanya sama ada insiden itu didalangi oleh pihak pembangkang, Syed Ali hanya berkata: "Hentikanlah budaya tuduh-menuduh dan mensabotaj antara satu sama lain."

Beliau menambah, setiap pemimpin seharusnya mengetepikan sentimen politik dan benar-benar komited menjaga kebajikan rakyat.

"Kita perlu menghentikan segera permainan politik kotor yang akan merosakkan pemikiran rakyat terutamanya generasi muda pada hari ini," katanya.

Pihak pembangkang turut mengalami insiden yang hampir sama pada Sabtu lalu apabila bas Jelajah Merdeka Rakyat milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) disimbah dengan cat merah dan cermin hadapannya pula dipecahkan.

Bas itu disimbah cat ketika diletakkan di hadapan Pasar Siti Khadijah dan dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pemuda kira-kira pukul 5 pagi Sabtu.

Dalam pada itu, Syed Ali turut menggesa rakyat supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis yang ditabur pihak pembangkang demi kepentingan politik mereka.

"Rakyat terutamanya anak-anak muda yang akan menentukan masa depan negara perlu melihat sikap sebenar yang cuba ditunjukkan pihak pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan sedia ada," katanya.

Jelas beliau, apa yang dijanjikan pembangkang hanyalah bersifat retorik semata-mata demi meraih sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Artikel Lain