suria

Eksekutif Syarikat Bebas Tuduhan Langgar Polis

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat melepaskan dan membebaskan seorang eksekutif syarikat pengiklanan di sini, atas empat pertuduhan termasuk cubaan membunuh seorang anggota polis, Oktober tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Kee Keam Sin, 27.

Pada akhir kes pendakwaan, beliau berkata mahkamah mendapati Kee sememangnya cuba mengelak daripada melanggar mangsa dengan memandu ke arah kiri jalan dan juga terdapat 'jurang' dalam kes pendakwaan.

Kee, dari Bandar Utama, di sini, didakwa cuba membunuh Lans Koperal Mohd Fadhil Mohamed dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di Jalan Persiaran Subang, belakang Digital Mall USJ 19, pada 12.40 tengah hari, 4 Oktober 2011.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sama turut membebaskan tertuduh daripada tiga pertuduhan lain iaitu memiliki kereta curi, memandu kenderaan dengan gopoh sehingga melanggar belakang sebuah kereta lain dan tidak mematuhi isyarat memberhentikan motokar di tempat dan waktu sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Choong Kak Sen, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Rohaya Mohd Tajudin.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang bekas pengurus pentadbiran kewangan dihukum penjara 18 bulan dan diarah menjelaskan RM5,000 kos mahkamah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM97,000.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Teh Cheng Ai, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah pada 30 Ogos lalu. Bagaimanapun Teh hanya perlu menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Teh, 50, mengaku bersalah melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang RM950, RM41,855.24 dan RM54,239.30 milik syarikat ke dalam akaun simpanannya di syarikat tersebut, di nombor 53-B, Jalan SS22/23, Damansara Jaya, di sini, di antara 4 Nov 1998 dan 10 Ogos 2000. BERNAMA

Artikel Lain