suria

Rasuah: Bekas Komandan Kem PLKN Dipenjara 12 Tahun

KOTA BAHARU: Bekas komandan kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Rabu setelah didapati bersalah terhadap enam pertuduhan rasuah berjumlah RM2,400.

Mohamad Nazri Osman, 45, yang merupakan bekas tentera berpangkat Mejar didapati bersalah melakukan perbuatan itu ketika menjawat jawatan komandan kem PLKN Etnobotani, Gua Musang, Kelantan antara Januari hingga Ogos 2009.

"Kamu didapati bersalah dan saya jatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan. Kegagalan anda membayar denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan itu pula boleh menyebabkan anda dipenjara 12 bulan.

"Setiap hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berasingan," kata Hakim Azman Mustapha sewaktu membacakan penghakimannya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM600 daripada seorang pembekal bas untuk tujuan PLKN, Ahmad Saifuddin Ibrahim melalui pindahan akaun Maybank cawangan Kota Baharu pada pukul 10.07 pagi, 7 Jun 2009. Mohamad Nazri yang kini merupakan seorang pengawal keselamatan di Kuala Lumpur didakwa menerima suapan tersebut sebagai dorongan memudahkan urusan berkaitan pembekalan perkhidmatan bas di kem berkenaan.

Bagi lima pertuduhan lagi, dia didakwa menerima suapan daripada Ahmad Saifudin, masing-masing sebanyak RM500 pada 8.51 malam, 11 Feb, RM600 pada pukul 8.58 malam, 11 Mac, RM300 pada 9.05 pagi, 7 April, RM200 pada 11.47 malam, 27 Ogos dan RM200 pada 9.30 pagi, 16 Jan pada tahun yang sama.

Semua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Ahsan Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Aizat Nordin.

Sebelum itu, Mohd Aizat memohon supaya pelaksanaan hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan kerana mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Azman kemudiannya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sahaja manakala hukuman denda berkuat kuasa serta merta. -BERNAMA

Artikel Lain